Monday, 19 May 2025

PERMAINAN TRADISIONAL


Sumber : Harian Post

Permainan Tradisional ialah permainan yang dicipta oleh orang dahulu sebelum adanya permainan video seperti sekarang, masyarakat dahulu seperti mak ayah kita atau atok nenek moyang kita mencipta pelbagai jenis permainan tradisional yang dapat menguji kemahiran, kekuatan dan ketangkasan. Kebiasaannya, permainan tradisional tersebut menggunakan bahan semula jadi serta dimainkan secara berkumpulan tanpa mengira peringkat umur. Ia bukan sahaja menyeronokkan malah dapat meningkatkan kemahiran fizikal dan sosial.

Antara contoh Permainan Tradisional ialah :

1) BATU SEREMBAN


Sumber : Wee Folk Art
 

Permainan Batu Seremban merupakan salah satu warisan permainan tradisional yang dimainkan di Malaysia dan ia merupakan permainan rakyat. Permainan ini biasanya digemari oleh kanak-kanak perempuan kerana tidak perlu pergerakan yang banyak. Namun ini tidak bermakna permainan ini untuk kanak-kanak perempuan kerana ada sahaja kanak-kanak lelaki yang memainkannya jika ada masa terluang.

Secara lazimnya, permainan batu seremban ini dimainkan sekurangnya-kurangnya dua orang. Pemain hendaklah mempunyai sekurang-kurangnya lima 5 biji batu kecil yang hampir sama saiznya dan ada juga 7 biji bergantung kepada pemain itu sendiri. Biasanya bilangan batu ialah ganjil. Pemain perlu melalui peringkat pertama dahulu dan seterusnya menghabiskan permainan batu seremban sehingga peringkat mengikut bilangan batu yang dimain.

Permainan ini masih dimainkan oleh masyarakat kini terutamanya di kawasan kampung dan ada juga di bandar tetapi mungkin kurang. Ini kerana permainan batu seremban ini dapat mengisi masa lapang dan juga apabila dimain bersama keluarga dan rakan-rakan dapat mengeratkan hubungan. Dengan cara ini, permainan ini dapat dikenali apabila dimain secara beramai-ramai.


2) CONGKAK

Sumber : Pinterest

Situasi bermain congkak
Sumber : Dreamstime


Congkak ini adalah sejenis permainan anjung atau permainan dalam rumah yang menggunakan kayu bujur berlubang di atas tanah. Permainan ini sama seperti batu seremban iaitu dimain sekurang-kurangnya dua orang. Permainan ini dipercayai dibawa masuk oleh pedagang-pedagang Melayu Polinesia pada abad ke-15 (Jabatan Warisan Negara). 

Buahnya ada yang menggunakan biji getah, batuan kecil, biji asam jawa, biji saga, biji salak ataupun kulit kerang. Kini, buah congkak telah digantikan dengan guli kerana mudah didapati dan dimainkan. Permainan ini dapat melatih kemahiran dalam matematik serta melatih minda untuk membuat keputusan atau strategi dengan pantas.


3) GALAH PANJANG


  https://www.youtube.com/watch?v=qoTbfVP2kdA&list=PPSV ( cara bermain galah panjang)

Mungkin ada kalangan generasi baru yang tak pernah melihat orang bermain galah panjang kan? Galah panjang adalah permainan tradisional yang dimainkan di atas gelanggang yang dilakar di atas tanah dan melibatkan dua pasukan lawan. Gelanggang tersebut mempunyai dua lajur dan beberapa baris bergantung kepada bilangan pemain. Permainan ini boleh dimain oleh lelaki dan perempuan di semua peringkat umur daripada kecil hingga besar.

Setiap kumpulan perlu mempunyai sekurang-kurangnya empat pemain. Pemain perlu menyusup masuk ke dalam dan berpatah balik. Permainan ini dapat merangsang pemikiran bagi mengatur strategi untuk menjadi pemenang dan menjauhi pihak lawan. Selain permainan ini menyeronokkan, ia juga melatih semangat berpasukan yang tinggi kerana menggalakkan ahli kumpulan menjaga antara satu sama lain. 


4) GASING 

Permainan gasing merupakan permainan yang amat popular pada masa dahulu di Semenanjung Malaysia terutama di negeri Kelantan, Terengganu dan juga Melaka. Selalunya gasing dimain oleh lelaki. Orang dewasa dan kanak-kanak boleh bermain gasing mengikut saiz gasing yang bersesuaian.

Terdapat dua cara gasing dimainkan iaitu Gasing Pangkah dan Gasing Uri. Gasing Pangkah dimainkan dengan melemparkannya supaya mengetuk gasing lawan manakala Gasing Uri dipertandingkan untuk menguji ketahanannya berpusing (Jabatan Warisan Negara). 


5) WAU

Sumber : Flickr

Wau ini merupakan permainan masa lapang rakyat yang mempunyai ciri-ciri keseniannya yang tersendiri. Terdapat tiga jenis wau yang terkenal iaitu, Wau Bulan, Wau Kucing dan Wau Jalabudi (Jabatan Warisan Negara). Setiap daripada wau tersebut mempunyai rekaan yang berbeza. 

Bagi masyarakat nelayan, Wau dimainkan sebagai persediaan ke laut, untuk mengetahui sama ada cuaca baik atau tidak. Hal yang sama dilakukan oleh para petani jika mereka ingin membuat persediaan menghadapi musim padi seterusnya.

Wau diperbuat daripada buluh yang diraut untuk dijadikan rangka, tulang belakang, sayap dan ekor wau. Kertas warna ditampal pada rangka wau untuk menentukan kecantikkannya. Kertas warna juga boleh dilukis motif-motif dengan warna pilihan yang sesuai.

Wau kucing

Wau jala budi

Pembuatan wau ini begitu unik berbanding permainan lain kerana teknik melukis corak dan untuk mewarnakannya memerlukan kemahiran yang tinggi untuk menjadikannya sebagai wau yang cantik. Pada masa kini, permainan Wau sering dimainkan secara persendirian atau melalui penganjuran program-program seperti Festival Wau Antarabangsa di Tumpat, Kelantan dan juga Festival Kesenian Rakyat Kelate (Seni Budaya). Dengan cara ini dapat kita mengelakkan daripada permainan tidak dikenali oleh masyarakat. 


Kesimpulannya, negara kita mempunyai pelbagai permainan tradisional yang masih lagi wujud dan dimainkan oleh segelintir masyarakat. Walaupun kelihatan ringkas dan tak memerlukan teknologi moden, tapi inilah yang membentuk diri ibu bapa kita atau generasi dahulu. Sebagai rakyat Malaysia, kita perlu bekerjasama dan berganding bahu dalam mengekalkan permainan tradisional di Malaysia agar tidak lenyap ditelan arus pemodenan.


Sumber : Jabatan Warisan Negara













No comments:

Post a Comment

LOGHAT SETIAP NEGERI DI MALAYSIA

Salah satu keistimewaan warisan Malaysia terletak pada kekayaan bahasanya, termasuklah kepelbagaian loghat yang memcerminkan identiti setiap...