Malaysia merupakan sebuah negara yang unik dan istimewa kerana dihuni oleh masyarakat berbilang kaum, budaya, dan agama. Perbezaan ini bukan penghalang, malah menjadi kekuatan yang menyerlahkan semangat perpaduan. Salah satu lambang keharmonian ini ialah perayaan – dari sambutan Hari Raya Aidilfitri, Hari Raya Aidiladha, Deepavali, Thaipusam,Tahun Baru Cina hinggalah ke Deepavali dan Gawai, setiap perayaan diraikan dengan penuh meriah, saling hormat-menghormati dan terbuka kepada semua kaum.
Perayaan di Malaysia bukan sahaja mencerminkan kepercayaan dan adat warisan sesuatu kaum, malah turut menjadi peluang untuk mengeratkan hubungan antara masyarakat melalui kunjung-mengunjung, jamuan terbuka dan pelbagai aktiviti budaya. Inilah keindahan sebenar Malaysia – bersatu dalam kepelbagaian.
1. Hari Raya Aidilfitri
Hari Raya Aidilfitri merupakan hari raya yang disambut oleh umat Islam selepas sebulan berpuasa di bulan Ramadan . Hari Raya ini juga menjadikan satu ruang untuk umat Islam saling bermaaf-maafan dan mengeratkan hubungan silaturrahim sesama keluarga dan saudara.
Hari raya ini disambut dengan meriah dengan kepulangan kampung halaman, membeli juadah hari raya dan membuat persiapan pakaian serta menghias rumah. Antara aktiviti yang diadakan semasa persiapan raya aidilfitri adalah menghias rumah dengan kad ucapan hari raya,bergotong-royong, membakar lemang dan sebagainya.
Selain itu juga, umat Islam juga disunatkan untuk melaksanakan solat sunat hari raya secara berjemaah pada pagi raya ,bermaaf-maafan sesama keluarga dan mengunjungi rumah terbuka saudara-mara bagi mengeratkan hubungan silaturrahim.
2. Hari Raya Aidiladha
Hari Raya Aidiladha juga merupakan perayaan yang disambut oleh umat Islam pada bulan Zulhijjah (bulan islam) .Perayaan ini adalah untuk mengingati pengorbanan besar Nabi Ibrahim dan Nabi Ismail bagi menunjukkan ketaatan kepada Allah s.w.t.
Kita sedia maklum, Hari Raya Aidiladha juga dikenali sebagai Hari Raya Korban dimana umat Islam akan melaksanakan ibadah korban dengan menyembelih haiwan ternakan seperti lembu atau kambing. Kemudian, daging korban tersebut akan diagihkan kepada orang fakir miskin,jiran dan ahli keluarga.
Selain itu juga,solat hari raya berjemaah juga merupakan salah satu aktiviti utama yang diadakan. Aktiviti ini dapat mengeratkan rasa kebersamaan dan perpaduan dalam masyarakat umat Islam.
3. Deepavali
Perayaan Deepavali juga disebut 'Diwali' yang bermaksud perayaan cahaya yang disambut oleh kaum India. Antara amalan yang dilaksanakan semasa perayaan ini ialah pembersihan dan penyucian diri, menghias rumah dan kolam, sembahyang dan pemujaan dewa.
Selain itu, masyarakat india juga akan memakai pakaian tradisional yang berwarna-warni serta menyediakan pelbagai jenis makanan dan manisan tradisional seperti murukku,laddu dan halwa.
4.Thaipusam
Thaipusam merupakan hari perayaan yang disambut oleh penganut yang beragama Hindu bagi menghormati Dewa Murugan atau juga dikenali sebagai Dewa Subramaniam.
Ramai penganut agama Hindu akan berpuasa pada hari Thaipusam untuk menunaikan nazar sebagai tanda kesyukuran kerana hajat telah dikabulkan.Selain itu juga, antara amalan lain seperti melaksanakan adat menindik, mencukur kepala dan menyembah Dewa Murugan .
5. Tahun Baru Cina
Perayaan Tahun Baru Cina disambut secara besar-besaran oleh masyarakat Cina yang menandakan kedatangan tahun baru menurut kalendar mereka.
Pada malam Tahun Baru,semua ahli keluarga berkumpul beramai-ramai untuk makan bersama.Tujuannya adalah untuk mengeratkan jalinan hubungan sesama keluarga. Ahli kelurga yang telah berumahtangga akan memberi 'angpau' kepada saudara mara dan sahabat yang belum berumahtangga. 'Angpau' membawa pengertian kesejahteraan yang berpanjangan, ianya sejenis sampul berwarna merah dan diisi dengan sejumlah wang. Buah limau mandarin dan kuih bakul merupakan kemestian yang perlu ada semasa merayakan Tahun Baru Cina.
Sepanjang Tahun Baru Cina berlangsung, tarian singa dimainkan dari rumah ke rumah dan kedai-kedai untuk memberi berkat kepada mereka yang meraikan perayaan tersebut. Penutup kepada perayaan Tahun baru Cina ialah perayaan Chap Goh Meh.
6. Perayaan Hari Gawai
Hari Gawai merupakan perayaan yang tidak asing bagi penduduk setempat negeri Sarawak yang diraikan oleh kaum Iban, Bidayuh dan Orang Ulu seperti Kayan dan Kenyah serta komuniti Dayak di Kalimantan Barat.
Kebiasaannya, Hari Gawai akan mengadakan upacara ranyai sebagai tanda terima kasih dan kesyukuran kepada Tuhan atau 'Petara' atas keberkatan hasil tani pada tahun tersebut. Selain itu, perayaan ini juga tidak akan lengkap tanpa air tuak yang merupakan minuman yang penting semasa upacara kerohanian 'Miring' serta hidangan kepada tetamu.
Kesimpulannya,perayaan yang terdapat di Malaysia ini bukan sahaja meriah dengan suasana, tetapi turut menyimpan nilai warisan yang penting dan berharga kepada setiap budaya dan kaum di negara kita. Oleh itu, sebagai rakyat Malaysia , kita harus terus menghargai dan memelihara warisan budaya ini supaya 'tidak lapuk dek hujan , tidak lekang dek panas' untuk generasi yang akan datang.
No comments:
Post a Comment