Seperti yang kita sedia maklum, Malaysia dikenali sebagai "Syurga Makanan" di seluruh dunia kerana kepelbagaian jenis makanan dan masakan yang mencerminkan budaya setiap kaum dan negeri. Walaupun dunia semakin moden dengan kehadiran makanan segera dan budaya luar, makanan warisan tetap memiliki tempat istimewa dekat hati rakyat Malaysia.
Dengan gabungan rasa dan teknik masakan yang diwarisi turun-temurun, Makanan Tradisional Malaysia dapat menggoda selera dan menjadi simbol warisan . Tidak hairanlah sekarang banyak pelancong asing yang datang ke Malaysia menyukai makanan-makanan warisan yang dijual di merata tempat atau ketika waktu atau perayaan tertentu.
Terdapat beberapa makanan warisan penting mengikut kaum dan negeri di Malaysia seperti :
1) NASI LEMAK
Apabila orang menyebut makanan Malaysia yang utama, semestinya Nasi Lemak yang menjadi sebutan kerana rasanya yang enak dan boleh dimakan oleh semua orang tanpa mengira kaum dan lapisan umur . Hidangan ini diperbuat daripada nasi yang dimasak bersama santan kelapa dan garam bagi menambah rasa lemak serta diletakkan halia dan daun pandan untuk meningkatkan lagi aromanya. Nasi Lemak biasanya dihidangkan bersama telur rebus, ikan bilis goreng, kacang goreng, timun dan sambal. Namun kita dapat lihat masa kini, Nasi Lemak dijual dengan pelbagai lauk yang tidak terhad seperti ayam, daging, sotong, udang, paru lembu dan sebagainya. Setiap rakyat Malaysia pasti menyukai makanan warisan negara ini.
2) LEMANG DAN RENDANG
Bagi kaum Melayu, kita menyambut perayaan Hari Raya Aidilfitri. Jadi sudah tentu ketika Hari Raya kita mempunyai menu wajib iaitu Lemang dan Rendang yang kebiasaannya pasti ada apabila mengunjungi setiap rumah. Lemang diperbuat daripada beras pulut, santan, garam dan daun pisang yang diisi di dalam buluh. Rendang pula kebiasaannya dimasak menggunakan ayam atau daging dan dimakan bersama lemang.
Bagi negeri Perak, mereka popular dengan "Rendang Tok". Resipi Rendang Tok dikatakan dicipta oleh pemerintah kerajaan Perak pada satu masa dahulu. Dipercayai dahulu hanya keluarga Diraja yang memiliki kemampuan untuk mendapatkan rempah-rempah mahal bagi menyempurnakan resipi Rendang Tok ini. Kini, Rendang Tok telah dikomersialkan yang menjadi hidangan popular di daerah Kuala Kangsar, Perak.
Lemang dan rendang sering diketengahkan dalam program dokumentari dan festival makanan tradisional dan dijadikan simbol budaya dalam acara antarabangsa untuk memperkenalkan makanan warisan Malaysia. Penting untuk generasi kini mengetahui cara penyediaannya agar tidak hilang ditelan zaman moden
3) LAKSA
 |
Laksa biasa yang sering dihidang Sumber : My Weekend Plan |
Laksa merupakan makanan yang popular dalam kalangan rakyat Malaysia dan menjadi salah satu makanan warisan . Boleh dikatakan setiap negeri mempunyai resipi laksa yang tersendiri. Laksa ini adalah antara menu yang menjadi pilihan hidangan untuk santapan dalam majlis keramaian atau masakan harian. Resipi Laksa di setiap negeri ada sedikit berbeza iaitu dari segi penggunaan bahan seperti jenis ikan, jenis mi, cara masakan dan bahan-bahan tambahan. Berikut merupakan jenis-jenis Laksa mengikut negeri :
 |
Laksa Johor Sumber : Cookpad |
Laksa Johor - Hidangan ini unik kerana ada sentuhan barat iaitu mi yang digunakan ialah spegeti yang agak berbeza dengan laksa negeri lain yang menggunakan laksa beras. Selain itu, kuahnya dihasilkan dengan isi ikan, rempah kari dan kerisik dan kuah sedikit pekat. Laksa ini juga dikatakan lebih sedap jika dimakan menggunakan tangan sahaja.
 |
Laksa Penang Sumber : Che Nom |
Laksa Penang - Terkenal dengan panggilan "Asam Laksa". Kuah laksa penang menggunakan isi ikan yang dicarik kecil-kecilan dan menggunakan air asam jawa yang menjadikan kuahnya lebih masam. Ia dihiasi dengan hirisan nanas, timun , salad, bawang dan potongan cili merah menjadikannya lebih menyelerakan.
 |
Laksa Sarawak Sumber : TasteAtlas |
Laksa Sarawak - Kuah laksa Sarawak dihasilkan menggunakan udang dan pes tersendiri. Bahan rempah yang penting adalah halia, bawang putih, bawang merah,serai, belacan, kunyit dan lada hitam. Laksa ini dihidangkan dengan udang, potongan ayam dan telur dadar yang dihiris serta taugeh dan dimakan bersama bihun dan bukannya laksa beras.
 |
Laksam Sumber : Munch Malaysia |
Laksam - berasal daripada negeri-negeri Pantai Timur di Semenanjung Malaysia iaitu Kelantan dan Terengganu. Laksam diperbuat daripada mi beras tebal yang digulung dan dipotong kemudian dimakan bersama kuah lemak putih, dan dihidangkan bersama ulam-ulaman seperti timun, taugeh dan daun kesum. Kuah lemak putih dibuat daripada bahan berasaskan ikan dan santan. Di Kelantan, biasanya kuah laksam lebih pekat dan manis, manakala kat Terengganu kuahnya lebih cair dan beraroma rempah sederhana
Ini menunjukkan laksa adalah satu menu yang unik dan bukan sekadar hidangan biasa. Ia menggambarkan identiti sesuatu tempat dan kaum, contohnya orang akan kenal Pulau Pinang dengan Asam Laksa. Resipi laksa diwarisi turun-temurun daripada nenek moyang dan kebanyakan resepi masih disimpan secara tradisional oleh keluarga dan komuniti tertentu.
4) YEE SANG
.jpg) |
| Sumber : Dandy Modern Foods |
Yee sang merupakan sejenis salad berwarna warni dan makanan yang biasanya kita jumpa apabila sambutan Tahun Baharu Cina. Setiap bahan yang ada di dalam Yee Sang ini melambangkan sesuatu iaitu ikan mentah yang biasa digunakan ikan salmon menunjukkan simbol kekayaan dan panjang umur, lobak merah yang melambangkan keuntungan, kacang tanah dan bijan melambangkan simbol umur panjang dan kemakmuran, sos plum untuk kemanisan dan keharmonian.
Proses "menggaul bersama" dilakukan secara beramai-ramai sambil menyebut harapan dan doa untuk tahun baru. Ini menunjukkan nilai kebersamaan dan perpaduan dalam budaya Cina. Selain itu, ia menjadi satu acara penting dalam perjumpaan keluarga dan rakan-rakan.
Yee Sang ini bukanlah sekadar makanan, malah ia merupakan lambang perpaduan dan penghormatan terhadap warisan budaya masyarakat Cina. Menerusi amalan ini, generasi muda kini dan generasi akan datang dapat mengenali tradisi nenek moyang mereka dan dapat meneruskan warisan ini ke masa hadapan.
5) VADAI
Vadai merupakan makanan Tradisional kaum India. Vadai terbahagi kepada dua jenis iaitu Paruppu vadai dan ulunthu vadai. Paruppu vadai dihasilkan daripada kacang dhal, hirisan cili hijau, daun kari dan bawang merah manakala ulunthu vadai pula diperbuat daripada urad dhal/kacang ulunthu dan berbentuk seperti donat.
6) AIS KEPAL
Ais Kepal ialah salah satu pencuci mulut yang cukup popular dan amat menyegarkan apabila dimakan ketika cuaca panas. Makanan ini juga telah diisytiharkan sebagai Warisan Kebangsaan pada tahun 2015 (Jabatan Warisan Negara) . Minuman penyejuk tekak ini dihasilkan daripada ketulan ais yang disagat dan dikepal dengan padat sehingga menjadi bentuk bulat atau bola. Kemudian, ia disiram dengan air gula yang dimasak bersama pewarna ros dan daun pandan. Namun terdapat banyak perisa lain yang telah diinovasikan oleh peniaga dengan gabungan sirap lain seperti sarsi, oren dan pewarna lain yang akhirnya menjadi ais kepal rainbow. Terdapat juga gabungan susu pekat dan coklat yang pernah viral dahulu sekitar tahun 2018 dan dipanggil 'Ais Kepal Milo'.
Ais Kepal ini melambangkan budaya jalanan dan kehidupan sederhana masyarakat dahulu. Ia memupuk nilai kebersamaan di mana kanak-kanak berkongsi ais kepal selepas bermain bersama dan menunjukkan sebahagian daripada identiti budaya tempatan.
Kini kita dapat lihat ais kepal semakin jarang ditemui kerana kemunculan pencuci mulut moden seperti aiskrim boba dari pelbagai kedai jenama minuman. Generasi muda perlu diberi pendedahan agar makanan ini tidak hilang ditelan zaman.
Kesimpulannya, adalah ini tanggungjawab kita sebagai rakyat Malaysia untuk memelihara dan meraikan kepelbagaian juadah warisan negara. Makanan ini bukan sahaja memenuhi keperluan fizikal malah . Adalah penting bagi kita semua terutama generasi muda untuk terus menghargai dan mempelajari dan memelihara resipi dan mengetahui penyediaan makanan warisan agar dapat dinikmati oleh generasi seterusnya.
Sumber : Bernama, Rasa, E-Central, Kata Malaysia