Monday, 19 May 2025

LOGHAT SETIAP NEGERI DI MALAYSIA

Salah satu keistimewaan warisan Malaysia terletak pada kekayaan bahasanya, termasuklah kepelbagaian loghat yang memcerminkan identiti setiap negeri.  Dari utara ke selatan, dari barat ke timur , setiap negeri menyumbang kepada kepelbagaian linguistik yang bukan sahaja berbeza dari sebutan, malah intonasi ,perkataan khas dan gaya penyampaian juga memberi gambaran terhadap latar budaya negeri masing-masing.




💫ZON UTARA ( Perak, Pulau Pinang, Kedah, Perlis )
Zon utara terkenal dengan loghat yang berirama dan kebiasaannya banyak menggunakan perkataan lama yang unik, dan sebutan bunyinya agak “panjang” atau ‘bergetar’ di hujung. Contohnya :
  • Perlis & Kedah: Gaya percakapan santai dan laju. Penggunaan perkataan seperti “hang” (awak), “cek” (saya - bagi wanita), “pi” (pergi). Contoh: “Hang pi mana tadi?”
  • Pulau Pinang: Loghat di Penang hampir sama dengan negeri Kedah dimana gaya yang santai dan perbezaannya hanya penggunaan perkataan khas di negeri masing-masing. Contoh: "loghat" (sibuk), "gebang" (tipu).
  • Perak : Loghatnya berbeza ikut kawasan. Di Perak Hulu, bunyinya lebih ‘keras’ berbanding Perak Hilir (contohnya di Teluk Intan). Contoh perkataan: “leboh” (terlepas/hilang), “temenung” (merenung), "megholoh" (tidur).

💫ZON SELATAN (Johor, Melaka, Negeri Sembilan )
Loghat di Selatan pula lebih halus dan dekat dengan Bahasa Melayu standard, tapi kalau dengar betul-betul, ada perbezaan yang ketara terutamamya dari segi intonasi dan beberapa perkataan khas.
  • Negeri Sembilan: Punya loghat Minangkabau yang kuat, terutamanya di kawasan luar bandar. Contoh: “Den” (saya), “ko” (awak). Ayat seperti “Den nak balik kampung lamo den.” sangat menggambarkan identiti Negeri.

  • Melaka: Gaya bercakap orang Melaka cenderung landai dan selamba. Ada pengaruh Baba Nyonya juga dalam perbualan masyarakat tertentu. Contoh: “Engkau ni, jangan main-main haa!”

  • Johor: Lebih dekat dengan bahasa baku, tapi ada istilah khas seperti “ngam” (sesuai), “jentik” (pukul kecil), dan penggunaan “kau” dalam nada yang mesra. Di Johor Bahru pula, ada pengaruh Singapura dan slang urban yang moden.


💫PANTAI TIMUR ( Pahang, Kelantan, Terengganu )
  • Kelantan: Salah satu loghat yang paling ‘eksklusif ' dimana negeri ini penuh dengan istilah tersendiri seperti “guano” (macam mana), “dok” (tak), “demo” (awak). Contoh: “Demo nok gi mano?” (Awak nak pergi mana?)

  • Terengganu: Lebih ‘berlagu’ dan sedap didengar. Contoh: “mende” (apa), “dok tahu” (tak tahu), dan ada banyak penggunaan bunyi ‘ng’ di hujung: “Mung wak mende ning?” ( Awak buat apa ni?)

  • Pahang: Gabungan loghat Pantai Timur dan Melayu standard. Di bahagian timur negeri (seperti Kuantan), pengaruh Terengganu dan Kelantan yang agak kuat. Di bahagian barat pula , (Pekan, Temerloh), bunyinya lebih perlahan dan lembut.



💫BORNEO (Sabah & Sarawak)

Loghat Sabah dan Sarawak sangat dikenali dengan penggunaan perkataan tersendiri, dan biasanya disampaikan dalam nada yang sangat mesra dan santai.

  • Sabah: Perkataan seperti “bah”, “kan”, “ni kali lah” dah sinonim dengan identiti Sabah. “Pigi” = pergi, “kau” = awak, “saya” digunakan juga, tapi dalam gaya yang lebih santai. Contoh: “Bah, kau mau pigi mana ni?”

  • Sarawak: Guna istilah seperti “kamek” (saya), “kitak” (awak), dan “sik” (tak). Percakapan sangat rileks dan lembut. Contoh: “Kamek sik tau bah kitak nak makan apa.”


Kesimpulannya, setiap negeri di Malaysia ada loghat tersendiri yang mencerminkan budaya dan identiti. Walaupun berbeza cara sebutan, semuanya tetap menjadikan Bahasa Melayu kita lebih kaya dan menarik. Lagi banyak kita faham loghat, lagi dekat rasa kita dengan satu sama lain.






PERMAINAN TRADISIONAL


Sumber : Harian Post

Permainan Tradisional ialah permainan yang dicipta oleh orang dahulu sebelum adanya permainan video seperti sekarang, masyarakat dahulu seperti mak ayah kita atau atok nenek moyang kita mencipta pelbagai jenis permainan tradisional yang dapat menguji kemahiran, kekuatan dan ketangkasan. Kebiasaannya, permainan tradisional tersebut menggunakan bahan semula jadi serta dimainkan secara berkumpulan tanpa mengira peringkat umur. Ia bukan sahaja menyeronokkan malah dapat meningkatkan kemahiran fizikal dan sosial.

Antara contoh Permainan Tradisional ialah :

1) BATU SEREMBAN


Sumber : Wee Folk Art
 

Permainan Batu Seremban merupakan salah satu warisan permainan tradisional yang dimainkan di Malaysia dan ia merupakan permainan rakyat. Permainan ini biasanya digemari oleh kanak-kanak perempuan kerana tidak perlu pergerakan yang banyak. Namun ini tidak bermakna permainan ini untuk kanak-kanak perempuan kerana ada sahaja kanak-kanak lelaki yang memainkannya jika ada masa terluang.

Secara lazimnya, permainan batu seremban ini dimainkan sekurangnya-kurangnya dua orang. Pemain hendaklah mempunyai sekurang-kurangnya lima 5 biji batu kecil yang hampir sama saiznya dan ada juga 7 biji bergantung kepada pemain itu sendiri. Biasanya bilangan batu ialah ganjil. Pemain perlu melalui peringkat pertama dahulu dan seterusnya menghabiskan permainan batu seremban sehingga peringkat mengikut bilangan batu yang dimain.

Permainan ini masih dimainkan oleh masyarakat kini terutamanya di kawasan kampung dan ada juga di bandar tetapi mungkin kurang. Ini kerana permainan batu seremban ini dapat mengisi masa lapang dan juga apabila dimain bersama keluarga dan rakan-rakan dapat mengeratkan hubungan. Dengan cara ini, permainan ini dapat dikenali apabila dimain secara beramai-ramai.


2) CONGKAK

Sumber : Pinterest

Situasi bermain congkak
Sumber : Dreamstime


Congkak ini adalah sejenis permainan anjung atau permainan dalam rumah yang menggunakan kayu bujur berlubang di atas tanah. Permainan ini sama seperti batu seremban iaitu dimain sekurang-kurangnya dua orang. Permainan ini dipercayai dibawa masuk oleh pedagang-pedagang Melayu Polinesia pada abad ke-15 (Jabatan Warisan Negara). 

Buahnya ada yang menggunakan biji getah, batuan kecil, biji asam jawa, biji saga, biji salak ataupun kulit kerang. Kini, buah congkak telah digantikan dengan guli kerana mudah didapati dan dimainkan. Permainan ini dapat melatih kemahiran dalam matematik serta melatih minda untuk membuat keputusan atau strategi dengan pantas.


3) GALAH PANJANG


  https://www.youtube.com/watch?v=qoTbfVP2kdA&list=PPSV ( cara bermain galah panjang)

Mungkin ada kalangan generasi baru yang tak pernah melihat orang bermain galah panjang kan? Galah panjang adalah permainan tradisional yang dimainkan di atas gelanggang yang dilakar di atas tanah dan melibatkan dua pasukan lawan. Gelanggang tersebut mempunyai dua lajur dan beberapa baris bergantung kepada bilangan pemain. Permainan ini boleh dimain oleh lelaki dan perempuan di semua peringkat umur daripada kecil hingga besar.

Setiap kumpulan perlu mempunyai sekurang-kurangnya empat pemain. Pemain perlu menyusup masuk ke dalam dan berpatah balik. Permainan ini dapat merangsang pemikiran bagi mengatur strategi untuk menjadi pemenang dan menjauhi pihak lawan. Selain permainan ini menyeronokkan, ia juga melatih semangat berpasukan yang tinggi kerana menggalakkan ahli kumpulan menjaga antara satu sama lain. 


4) GASING 

Permainan gasing merupakan permainan yang amat popular pada masa dahulu di Semenanjung Malaysia terutama di negeri Kelantan, Terengganu dan juga Melaka. Selalunya gasing dimain oleh lelaki. Orang dewasa dan kanak-kanak boleh bermain gasing mengikut saiz gasing yang bersesuaian.

Terdapat dua cara gasing dimainkan iaitu Gasing Pangkah dan Gasing Uri. Gasing Pangkah dimainkan dengan melemparkannya supaya mengetuk gasing lawan manakala Gasing Uri dipertandingkan untuk menguji ketahanannya berpusing (Jabatan Warisan Negara). 


5) WAU

Sumber : Flickr

Wau ini merupakan permainan masa lapang rakyat yang mempunyai ciri-ciri keseniannya yang tersendiri. Terdapat tiga jenis wau yang terkenal iaitu, Wau Bulan, Wau Kucing dan Wau Jalabudi (Jabatan Warisan Negara). Setiap daripada wau tersebut mempunyai rekaan yang berbeza. 

Bagi masyarakat nelayan, Wau dimainkan sebagai persediaan ke laut, untuk mengetahui sama ada cuaca baik atau tidak. Hal yang sama dilakukan oleh para petani jika mereka ingin membuat persediaan menghadapi musim padi seterusnya.

Wau diperbuat daripada buluh yang diraut untuk dijadikan rangka, tulang belakang, sayap dan ekor wau. Kertas warna ditampal pada rangka wau untuk menentukan kecantikkannya. Kertas warna juga boleh dilukis motif-motif dengan warna pilihan yang sesuai.

Wau kucing

Wau jala budi

Pembuatan wau ini begitu unik berbanding permainan lain kerana teknik melukis corak dan untuk mewarnakannya memerlukan kemahiran yang tinggi untuk menjadikannya sebagai wau yang cantik. Pada masa kini, permainan Wau sering dimainkan secara persendirian atau melalui penganjuran program-program seperti Festival Wau Antarabangsa di Tumpat, Kelantan dan juga Festival Kesenian Rakyat Kelate (Seni Budaya). Dengan cara ini dapat kita mengelakkan daripada permainan tidak dikenali oleh masyarakat. 


Kesimpulannya, negara kita mempunyai pelbagai permainan tradisional yang masih lagi wujud dan dimainkan oleh segelintir masyarakat. Walaupun kelihatan ringkas dan tak memerlukan teknologi moden, tapi inilah yang membentuk diri ibu bapa kita atau generasi dahulu. Sebagai rakyat Malaysia, kita perlu bekerjasama dan berganding bahu dalam mengekalkan permainan tradisional di Malaysia agar tidak lenyap ditelan arus pemodenan.


Sumber : Jabatan Warisan Negara













Saturday, 17 May 2025

PAKAIAN TRADISIONAL DI MALAYSIA

 Malaysia terkenal sebagai negara yang kaya dengan kepelbagaian budaya dan etnik. Keunikan ini tidak hanya dilihat dalam makanan atau bahasa, tetapi juga terserlah dalam pakaian tradisional yang dikenakan oleh setiap kaum. Pakaian tradisional bukan sekadar pakaian harian atau untuk perayaan, tetapi ia melambangkan warisan, nilai budaya, dan identiti masyarakat yang telah diwarisi turun-temurun.

Warisan pakaian tradisional di Malaysia mencerminkan kepelbagaian budaya dan etnik yang hidup harmoni di negara ini. Setiap kaum seperti Melayu, Cina, India, dan etnik pribumi dari Sabah dan Sarawak juga mempunyai pakaian tradisional tersendiri yang kaya dengan simbolik, sejarah, dan nilai estetika. 


1. Kaum Melayu


 

  • Baju Melayu (Lelaki): Sepasang pakaian tradisional lelaki terdiri daripada baju berlengan panjang dan seluar, biasanya dipakai dengan samping dan songkok. Ia dipakai semasa majlis rasmi, perayaan, dan solat Jumaat.
  • Baju Kurung (Perempuan): Baju labuh yang longgar dipadankan dengan kain panjang. Ini merupakan simbol keanggunan wanita Melayu. Variasi moden termasuk Baju Kurung Moden dan Baju Kurung Pahang.


2. Kaum Cina



  • Cheongsam (Perempuan): Juga dikenali sebagai qipao, merupakan pakaian tradisional wanita Cina yang menonjolkan potongan tubuh dan keanggunan. Ia sering diperbuat daripada sutera dan dihiasi corak flora atau simbol tradisional Cina.

  • Samfu (Lelaki): Sepasang pakaian longgar dengan baju berkolar mandarin dan seluar, biasanya dipakai pada Tahun Baru Cina atau majlis tradisional.


3. Kaum India



  • Sari (Perempuan): Sehelai kain panjang (5–9 meter) yang dililit di badan dan disarungkan bersama blouse (choli). Sari adalah simbol kewanitaan dan keanggunan wanita India.

  • Salwar Kameez: Pakaian yang lebih selesa, terdiri daripada tunik panjang (kameez), seluar (salwar), dan selendang (dupatta).

  • Dhoti dan Kurta (Lelaki): Pakaian tradisional lelaki India. Dhoti adalah kain panjang yang dililit seperti kain pelikat, manakala kurta adalah baju labuh longgar.


4. Etnik Sabah dan Sarawak

 


  • Kadazan-Dusun: Pakaian tradisional hitam berbenang emas, dipakai semasa pesta Kaamatan. Lelaki memakai jaket dan seluar, manakala wanita memakai blaus dan kain labuh dengan aksesori manik.

  • Iban (Sarawak): Wanita memakai kain kebat yang ditenun tangan, dipadankan dengan aksesori logam dan manik, manakala lelaki memakai sirat (cawat tradisional), serta hiasan kepala.

  • Bidayuh, Orang Ulu, Melanau: Masing-masing mempunyai pakaian unik dengan corak geometri, sulaman manik, dan bahan tempatan seperti rotan dan kapas.




Wednesday, 14 May 2025

PERAYAAN DI MALAYSIA

Malaysia merupakan sebuah negara yang unik dan istimewa kerana dihuni oleh masyarakat berbilang kaum, budaya, dan agama. Perbezaan ini bukan penghalang, malah menjadi kekuatan yang menyerlahkan semangat perpaduan. Salah satu lambang keharmonian ini ialah perayaan – dari sambutan Hari Raya Aidilfitri, Hari Raya Aidiladha, Deepavali, Thaipusam,Tahun Baru Cina hinggalah ke Deepavali dan Gawai, setiap perayaan diraikan dengan penuh meriah, saling hormat-menghormati dan terbuka kepada semua kaum.

Perayaan di Malaysia bukan sahaja mencerminkan kepercayaan dan adat warisan sesuatu kaum, malah turut menjadi peluang untuk mengeratkan hubungan antara masyarakat melalui kunjung-mengunjung, jamuan terbuka dan pelbagai aktiviti budaya. Inilah keindahan sebenar Malaysia – bersatu dalam kepelbagaian.


1. Hari Raya Aidilfitri


Hari Raya Aidilfitri merupakan hari raya yang disambut oleh umat Islam selepas sebulan berpuasa di bulan Ramadan . Hari Raya ini juga menjadikan satu ruang untuk umat Islam saling bermaaf-maafan dan mengeratkan hubungan silaturrahim sesama keluarga dan saudara.

Hari raya ini disambut dengan meriah dengan kepulangan kampung halaman, membeli juadah hari raya dan membuat persiapan pakaian serta menghias rumah. Antara aktiviti yang diadakan semasa  persiapan raya aidilfitri adalah menghias rumah dengan kad ucapan hari raya,bergotong-royong, membakar lemang dan sebagainya.

Selain itu juga, umat Islam juga disunatkan untuk melaksanakan solat sunat hari raya secara berjemaah pada pagi raya ,bermaaf-maafan sesama keluarga dan mengunjungi rumah terbuka saudara-mara bagi mengeratkan hubungan silaturrahim.


2. Hari Raya Aidiladha

Hari Raya Aidiladha juga merupakan perayaan yang disambut oleh umat Islam pada bulan Zulhijjah (bulan islam) .Perayaan ini adalah untuk mengingati pengorbanan besar Nabi Ibrahim dan Nabi Ismail bagi menunjukkan ketaatan kepada Allah s.w.t.

Kita sedia maklum, Hari Raya Aidiladha juga dikenali sebagai Hari Raya Korban dimana umat Islam akan melaksanakan ibadah korban dengan menyembelih haiwan ternakan seperti lembu atau kambing. Kemudian, daging korban tersebut akan diagihkan kepada orang fakir miskin,jiran dan ahli keluarga.

Selain itu juga,solat hari raya berjemaah juga merupakan salah satu aktiviti utama yang diadakan. Aktiviti ini dapat mengeratkan rasa kebersamaan dan perpaduan dalam masyarakat umat Islam. 


3. Deepavali
Perayaan Deepavali juga disebut 'Diwali' yang bermaksud perayaan cahaya yang disambut oleh kaum India. Antara amalan yang dilaksanakan semasa perayaan ini ialah pembersihan dan penyucian diri, menghias rumah dan kolam, sembahyang  dan pemujaan dewa. 

Selain itu, masyarakat india juga akan memakai pakaian tradisional yang berwarna-warni serta menyediakan pelbagai jenis makanan dan manisan tradisional seperti murukku,laddu dan halwa. 


4.Thaipusam
Thaipusam merupakan hari perayaan yang disambut oleh penganut yang beragama Hindu bagi menghormati Dewa Murugan atau juga dikenali sebagai Dewa Subramaniam. 

Ramai penganut agama Hindu akan berpuasa pada hari Thaipusam untuk menunaikan nazar sebagai tanda kesyukuran kerana hajat telah dikabulkan.Selain itu juga, antara amalan lain seperti melaksanakan adat menindik, mencukur kepala dan menyembah Dewa Murugan .

 
5. Tahun Baru Cina
Perayaan Tahun Baru Cina disambut secara besar-besaran oleh masyarakat Cina yang menandakan kedatangan tahun baru menurut kalendar mereka.

Pada malam Tahun Baru,semua ahli keluarga berkumpul beramai-ramai untuk makan bersama.Tujuannya adalah untuk mengeratkan jalinan hubungan sesama keluarga. Ahli kelurga yang telah berumahtangga akan memberi 'angpau' kepada saudara mara dan sahabat yang belum berumahtangga. 'Angpau' membawa pengertian kesejahteraan yang berpanjangan, ianya sejenis sampul berwarna merah dan diisi dengan sejumlah wang. Buah limau mandarin dan kuih bakul merupakan kemestian yang perlu ada semasa merayakan Tahun Baru Cina.

Sepanjang Tahun Baru Cina berlangsung, tarian singa dimainkan dari rumah ke rumah dan kedai-kedai untuk memberi berkat kepada mereka yang meraikan perayaan tersebut. Penutup kepada perayaan Tahun baru Cina ialah perayaan Chap Goh Meh.

6. Perayaan Hari Gawai
Hari Gawai merupakan perayaan yang tidak asing bagi penduduk setempat negeri Sarawak yang diraikan oleh kaum Iban, Bidayuh dan Orang Ulu seperti Kayan dan Kenyah serta komuniti Dayak di Kalimantan Barat.

Kebiasaannya, Hari Gawai akan mengadakan upacara ranyai sebagai tanda terima kasih dan kesyukuran kepada Tuhan atau 'Petara' atas keberkatan hasil tani pada tahun tersebut. Selain itu, perayaan ini juga tidak akan lengkap tanpa air tuak yang merupakan minuman yang penting semasa upacara kerohanian 'Miring' serta hidangan kepada tetamu.


  Kesimpulannya,perayaan yang terdapat di Malaysia ini bukan sahaja meriah dengan suasana, tetapi turut menyimpan nilai warisan yang penting dan berharga kepada setiap budaya dan kaum di negara kita. Oleh itu, sebagai rakyat Malaysia , kita harus terus menghargai dan memelihara warisan budaya ini supaya 'tidak lapuk dek hujan , tidak lekang dek panas' untuk generasi yang akan datang.




Monday, 12 May 2025

MAKANAN WARISAN


Seperti yang kita sedia maklum, Malaysia dikenali sebagai "Syurga Makanan" di seluruh dunia kerana kepelbagaian jenis makanan dan masakan yang mencerminkan budaya setiap kaum dan negeri. Walaupun dunia semakin moden dengan kehadiran makanan segera dan budaya luar, makanan warisan tetap memiliki tempat istimewa dekat hati rakyat Malaysia.

Dengan gabungan rasa dan teknik masakan yang diwarisi turun-temurun, Makanan Tradisional Malaysia dapat menggoda selera dan menjadi simbol warisan . Tidak hairanlah sekarang banyak pelancong asing yang datang ke Malaysia menyukai makanan-makanan warisan yang dijual di merata tempat atau ketika waktu atau perayaan tertentu.

Terdapat beberapa makanan warisan penting mengikut kaum dan negeri di Malaysia seperti :


1) NASI LEMAK

Apabila orang menyebut makanan Malaysia yang utama, semestinya Nasi Lemak yang menjadi sebutan kerana rasanya yang enak dan boleh dimakan oleh semua orang tanpa mengira kaum dan lapisan umur . Hidangan ini diperbuat daripada nasi yang dimasak bersama santan kelapa dan garam bagi menambah rasa lemak serta diletakkan halia dan daun pandan untuk meningkatkan lagi aromanya. Nasi Lemak biasanya dihidangkan bersama telur rebus, ikan bilis goreng, kacang goreng, timun dan sambal. Namun kita dapat lihat masa kini, Nasi Lemak dijual dengan pelbagai lauk yang tidak terhad seperti ayam, daging, sotong, udang, paru lembu dan sebagainya.  Setiap rakyat Malaysia pasti menyukai makanan warisan negara ini.


2) LEMANG DAN RENDANG

Bagi kaum Melayu, kita menyambut perayaan Hari Raya Aidilfitri. Jadi sudah tentu ketika Hari Raya kita mempunyai menu wajib iaitu Lemang dan Rendang yang kebiasaannya pasti ada apabila mengunjungi setiap rumah. Lemang diperbuat daripada beras pulut, santan, garam dan daun pisang yang diisi di dalam buluh. Rendang pula kebiasaannya dimasak menggunakan ayam atau daging dan dimakan bersama lemang.

Bagi negeri Perak, mereka popular dengan "Rendang Tok". Resipi Rendang Tok dikatakan dicipta oleh pemerintah kerajaan Perak pada satu masa dahulu. Dipercayai dahulu hanya keluarga Diraja yang memiliki kemampuan untuk mendapatkan rempah-rempah mahal bagi menyempurnakan resipi Rendang Tok ini. Kini, Rendang Tok telah dikomersialkan yang menjadi hidangan popular di daerah Kuala Kangsar, Perak.

Lemang dan rendang sering diketengahkan dalam program dokumentari dan festival makanan tradisional dan dijadikan simbol budaya dalam acara antarabangsa untuk memperkenalkan makanan warisan Malaysia. Penting untuk generasi kini mengetahui cara penyediaannya agar tidak hilang ditelan zaman moden


3) LAKSA

Laksa biasa yang sering dihidang
Sumber : My Weekend Plan

Laksa merupakan makanan yang popular dalam kalangan rakyat Malaysia dan menjadi salah satu makanan warisan . Boleh dikatakan setiap negeri mempunyai resipi laksa yang tersendiri. Laksa ini adalah antara menu yang menjadi pilihan hidangan untuk santapan dalam majlis keramaian atau  masakan harian. Resipi Laksa di setiap negeri ada sedikit berbeza iaitu dari segi penggunaan bahan seperti jenis ikan, jenis mi, cara masakan dan bahan-bahan tambahan. Berikut merupakan jenis-jenis Laksa mengikut negeri :

Laksa Johor
Sumber : Cookpad

Laksa Johor - Hidangan ini unik kerana ada sentuhan barat iaitu mi yang digunakan ialah spegeti yang agak berbeza dengan laksa negeri lain yang menggunakan laksa beras. Selain itu, kuahnya dihasilkan dengan isi ikan, rempah kari dan kerisik dan kuah sedikit pekat. Laksa ini juga dikatakan lebih sedap jika dimakan menggunakan tangan sahaja.

Laksa Penang
Sumber : Che Nom

Laksa Penang - Terkenal dengan panggilan "Asam Laksa". Kuah laksa penang menggunakan isi ikan yang dicarik kecil-kecilan dan menggunakan air asam jawa yang menjadikan kuahnya lebih masam. Ia dihiasi dengan hirisan nanas, timun , salad, bawang dan potongan cili merah menjadikannya lebih menyelerakan.

Laksa Sarawak
Sumber : TasteAtlas

Laksa Sarawak - Kuah laksa Sarawak dihasilkan menggunakan udang dan pes tersendiri. Bahan rempah yang penting adalah halia, bawang putih, bawang merah,serai, belacan, kunyit dan lada hitam. Laksa ini dihidangkan dengan udang, potongan ayam dan telur dadar yang dihiris serta taugeh dan dimakan bersama bihun dan bukannya laksa beras.


Laksam
Sumber : Munch Malaysia

Laksam - berasal daripada negeri-negeri Pantai Timur di Semenanjung Malaysia iaitu Kelantan dan Terengganu. Laksam diperbuat daripada mi beras tebal yang digulung dan dipotong kemudian dimakan bersama kuah lemak putih, dan dihidangkan bersama ulam-ulaman seperti timun, taugeh dan daun kesum. Kuah lemak putih dibuat daripada bahan berasaskan ikan dan santan. Di Kelantan, biasanya kuah laksam lebih pekat dan manis, manakala kat Terengganu kuahnya lebih cair dan beraroma rempah sederhana

Ini menunjukkan laksa adalah satu menu yang unik dan bukan sekadar hidangan biasa. Ia menggambarkan identiti sesuatu tempat dan kaum, contohnya orang akan kenal Pulau Pinang dengan Asam Laksa. Resipi laksa diwarisi turun-temurun daripada nenek moyang dan kebanyakan resepi masih disimpan secara tradisional oleh keluarga dan komuniti tertentu.



4) YEE SANG

Sumber : Dandy Modern Foods

Yee sang merupakan sejenis salad berwarna warni dan makanan yang biasanya kita jumpa apabila sambutan Tahun Baharu Cina. Setiap bahan yang ada di dalam Yee Sang ini melambangkan sesuatu iaitu ikan mentah yang biasa digunakan ikan salmon menunjukkan simbol kekayaan dan panjang umur, lobak merah yang melambangkan keuntungan, kacang tanah dan bijan melambangkan simbol umur panjang dan kemakmuran, sos plum untuk kemanisan dan keharmonian.

Proses "menggaul bersama" dilakukan secara beramai-ramai sambil menyebut harapan dan doa untuk tahun baru. Ini menunjukkan nilai kebersamaan dan perpaduan dalam budaya Cina. Selain itu, ia menjadi satu acara penting dalam perjumpaan keluarga dan rakan-rakan. 

Yee Sang ini bukanlah sekadar makanan, malah ia merupakan lambang perpaduan dan penghormatan terhadap warisan budaya masyarakat Cina. Menerusi amalan ini, generasi muda kini dan generasi akan datang dapat mengenali tradisi nenek moyang mereka dan dapat meneruskan warisan ini ke masa hadapan.


5) VADAI


Vadai merupakan makanan Tradisional kaum India. Vadai terbahagi kepada dua jenis iaitu Paruppu vadai dan ulunthu vadai. Paruppu vadai dihasilkan daripada kacang dhal, hirisan cili hijau, daun kari dan bawang merah manakala ulunthu vadai pula diperbuat daripada urad dhal/kacang ulunthu dan berbentuk seperti donat.


6) AIS KEPAL


Ais Kepal ialah salah satu pencuci mulut yang cukup popular dan amat menyegarkan apabila dimakan ketika cuaca panas. Makanan ini juga telah diisytiharkan sebagai Warisan Kebangsaan pada tahun 2015 (Jabatan Warisan Negara) . Minuman penyejuk tekak ini dihasilkan daripada ketulan ais yang disagat dan dikepal dengan padat sehingga menjadi bentuk bulat atau bola. Kemudian, ia disiram dengan air gula yang dimasak bersama pewarna ros dan daun pandan. Namun terdapat banyak perisa lain yang telah diinovasikan oleh peniaga dengan gabungan sirap lain seperti sarsi, oren dan pewarna lain yang akhirnya menjadi ais kepal rainbow. Terdapat juga gabungan susu pekat dan coklat yang pernah viral dahulu sekitar tahun 2018 dan dipanggil 'Ais Kepal Milo'.

Ais Kepal ini melambangkan budaya jalanan dan kehidupan sederhana masyarakat dahulu. Ia memupuk nilai kebersamaan di mana kanak-kanak berkongsi ais kepal selepas bermain bersama dan menunjukkan sebahagian daripada identiti budaya tempatan.

Kini kita dapat lihat ais kepal semakin jarang ditemui kerana kemunculan pencuci mulut moden seperti aiskrim boba dari pelbagai kedai jenama minuman. Generasi muda perlu diberi pendedahan agar makanan ini tidak hilang ditelan zaman.


Kesimpulannya, adalah ini tanggungjawab kita sebagai rakyat Malaysia untuk memelihara dan meraikan kepelbagaian juadah warisan negara. Makanan ini bukan sahaja memenuhi keperluan fizikal malah . Adalah penting bagi kita semua terutama generasi muda untuk terus menghargai dan mempelajari dan memelihara resipi dan mengetahui penyediaan makanan warisan agar dapat dinikmati oleh generasi seterusnya.


Sumber : Bernama, Rasa, E-Central, Kata Malaysia


 


LOGHAT SETIAP NEGERI DI MALAYSIA

Salah satu keistimewaan warisan Malaysia terletak pada kekayaan bahasanya, termasuklah kepelbagaian loghat yang memcerminkan identiti setiap...